Tuesday, October 12, 2010

Pertandingan Cipta Lagu Malaysia 2010

Photobucket

Kumpulan Ambank Bersama RTM Anjur Pertandingan Cipta Lagu Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- RTM kini menganjurkan pertandingan "Cipta Lagu Malaysia", bertujuan mencungkil bakat-bakat baru pencipta muzik terutamanya di kalangan generasi muda.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya berkata pertandingan akan berlangsung sehingga 31 Mac tahun depan.

"Langkah ini diharap dapat mengumpul karya menarik dan kreatif yang mampu membantu perkembangan muzik tanah air," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pertandingan itu di Angkasapuri di sini hari Selasa.

Pertandingan itu dengan kerjasama Kumpulan Ambank Malaysia, Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (KOPSTAR) dan Erama.tv, terbuka kepada setiap warganegara tanpa had umur.

Juara bakal memenangi hadiah wang RM40,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM25,000 dan RM15,000. Selain itu lima finalis, masing-masing ditawarkan saguhati RM4,000.

Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail berkata pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan daripada kalangan pemuzik profesional serta warga dan penuntut universiti.

"Mereka boleh mencuba nasib dengan pelbagai bentuk genre lagu dan pelbagai bahasa sama ada bahasa Iban, Mandarin, Tamil atau bahasa suku kaum masyarakat orang asli," katanya.

Beliau berkata sebarang ciptaan lagu boleh dihantar dalam bentuk cakera padat atau MP3 kepada Bahagian Perkhidmatan, Muzik Studio Rentak 50, Angkasapuri, 50614 Kuala Lumpur atau di lawan web www.erama.tv.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim berkata penganjuran pertandingan itu diharap dapat dijadikan "jambatan" yang mampu menghubungkan rakyat negara ini tanpa mengira bangsa, agama dan kaum.

"Ini antara usaha kami mengembangkan lagu-lagu ciptaan tempatan selain meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menghayati sesuatu karya," katanya.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...